IBU muda, Norashikin Rosli, 18, dari Kampung
Lancuk, Pokok Sena menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada Julai lalu dan baru-baru ini beliau diumumkan sebagai
pelatih wanita terbaik atau Wirawati.
Norashikin yang terpaksa meninggalkan anaknya yang
ketika itu berusia lapan bulan, menerima anugerah tersebut daripada Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Pertahanan,
Alihan A. Hamid di Kem Dusun Minda, Kuala Nerang.
Bagi Norashikin, hari tamat latihan itu dinanti-nantikan
apabila dapat bersatu semula dengan bayinya, Mohd. Ikhwan Mohd. Shafudin yang kini sudah berusia kira-kira 11 bulan.
"Saya terlalu rindu padanya (Mohd. Ikhwan), setiap
malam sebelum tidur saya akan terkenangkan dia kerana kami tidak pernah berpisah sejak melahirkannya,'' katanya ketika ditanya
perasaannya menamatkan latihan selepas dua bulan setengah mengikuti PLKN.
Norashikin tidak dapat menyertai siri pertama PLKN
pada Januari lalu kerana baru saja melahirkan Mohd. Ikhwan. Bagaimanapun, pada Julai lalu, beliau memutuskan untuk menyertai
sesi khas program tersebut walaupun mempunyai hak memohon penangguhan kerana mempunyai anak kecil. Kesediaan ibu muda itu meninggalkan anak kecil semata-mata mahu menyahut seruan negara mendapat perhatian daripada
pelbagai pihak yang kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh Norashikin.
"Anugerah yang saya terima adalah hasil daripada bantuan
dan sikap saling memahami yang ditunjukkan oleh semua pihak di kem tersebut,'' katanya.
Ditanya mengenai pengalamannya semasa berada di kem
itu, Norashikin memberitahu, minggu pertama di kem tersebut adalah saat-saat yang paling mencabar untuknya kerana beliau sering
teringat kepada anaknya yang dijaga oleh suami, Mohd. Shafudin Che Had, 23.-- eLada.Com